Berkawan Biar Beribu
Untungnya merantau di kota asing, dapat kawan dengan pelbagai bangsa, agama dan warna kulit. Di tempat kerja di i-to-i, aku berkenalan dengan Briton, Pakistan dan Cina. Manakala di sebelah petangnya, sebagai janitor, aku berkawan dengan Melayu, Arab, Afrika dan Portugal.
Nampak double standard, bila berbicara dengan Briton berbanding bangsa-bangsa lain. Agak sombong, tetapi tidak semuanya sebegitu.
Aku suka bersembang dengan orang luar, seperti mana aku sebagai perantau asing ke UK ini. Bertanya tentang keadaan negara mereka, kehidupan sosial mereka, atas tujuan apa datang ke mari dan sebagainya. Selalunya, untuk masa sebegini, kami berehat seketika sambil meminum chocomilk (milo) panas percuma dari mesin air di tempat kerja. Aku satu hari mesti minum 3 cawan, mesti punya.
Kedapatan, seorang kawan dari Iraq (berbangsa Kurdis) datang ke UK sebagai perlarian perang (Perang AS ke atas Iraq) bersama anak dan isterinya. Memang menyedihkan, katanya kehidupan di zaman Saddam adalah lebih baik biarpun bangsa Kurdis dianak tirikan tetapi mempunyai kerajaan sendiri dalam wilayah Iraq.
Sementara kawan dari Afrika (Cameroon), datangnya bersama keluarga, juga seperti aku di mana isterinya belajar di sini. Ceritanya, elaun belajar yang diperolehi agak tinggi berbanding pelajar dari Malaysia. Agak pelik, Malaysia adalah negara membangun yang hebat bukan.
Ini antara secebis pengalaman bekerja sebagai janitor di mana rata-rata orang Melayu yang datang ke sini, terpaksa bekerja sampingan untuk menampung perbelanjaan harian. Tambahan kerja ini agak mudah dan tidak memerlukan masa yang lama. Cukup satu hari, 2 jam, atau yang mampu yang ingin menambah duit kocek lagi, kerja sebanyak mana jam yang mampu. Biarpun dahulunya dia mempunyai pangkat ataupun akan datang bergelar Doktor, kerja sampingan di perantauan adalah untuk menambah duit poket akibat kekurangan elauan yang diperuntukkan.
