Coretan Seminggu
Khabar dari kampung ada yang gembira dan takziah. Gembiranya, Chag mendapat seorang lagi cahaya mata perempuan. Rasanya perkiraan jari tangan sudah tidak cukup untuk membilang bilangan anaknya. Tahniah kepada Chag dan Kak Teh yang mendapat keluarga yang cukup besar. Sakit ayah pun semakin kurang, hari-hari bertemankan ubat. Alhamdullillah.
Takziah sekali lagi di atas kematian Tok Teh. Mak Timah sempat berbual telefon sebelum arwah menghembus nafasnya. Jarak yang jauh dan masa menjarakkan lagi pertemuan mereka untuk kali terakhir. Alhamdullillah, segala urusan telah selesai dengan sempurna. Cuma, jiwa mana yang tidak terkilan untuk menatap wajah terakhir orang tersayang. Berkongsi kesedihan kami seminggu mengenangkannya.
Pagi sabtu, Eizzah mengikuti kelas pengajian Al-Quran anjuran MSCL di Green Room, Leeds University dari pukul 10.30 pagi hingga 12.30 tengahari. Ini adalah kali kedua Eizzah mengikutinya. Selain mempelajari ilmu yang berkaitan pembacaan Al-Quran dan Islam, kanak-kanak yang mengikuti kelas pengajian ini dapat bergaul sesama mereka. Kebetulan selepas menghantar Eizzah ke tempat pengajiannya, aku dijemput untuk bersama-sama bergotong royong membersihkan kawasan rumah seorang rakan di Beeston.
Untuk menghilangkan kebosanan, lebih-lebih lagi Mak Timah dan Damia yang hari-hari memerap di rumah, kami mengunjungi York Designer Outlet (YDO), York selepas mengambil Eizzah dari kelasnya. Cuaca memang cukup baik, cerahnya dan panasnya merangsang semangat ke sana. Kiri kanan ladang-ladang gandum terbentang luas, Mak Timah tersenyum, mungkin terkenang keadaan sawah padinya di kampung. Sekadar berjalan dan mengenal tempat di YDO. Kami hanya meluangkan masa selama 2 jam setengah di sana. Paling tidak, dibeli juga 1 pasang kasut Clark untuk Eizzah dan 1 pasang kasut Timberland untuk aku.
Aku sekeluarga dijemput untuk ke majlis kesyukuran seorang rakan di Headingley pada sebelah tengahari. Tidak sempat kami untuk ke sana, memandangkan jam 4 petang masih lagi berada di York. Salam tahniah diucap kepadanya sekeluarga.
Jam 6.30 petang, kami dijemput ke majlis kesyukuran dan hari jadi anak seorang rakan lagi yang tinggal di kawasan Kirkstall. Menu hidangan yang pelbagai menaikkan selera makan. Nasi ayam cukup menyelerakan ditambah kemudiannya dengan bihun sup ala-ala selatan semenanjung. Di situ berkenalan dengan seorang dua rakan baru yang baru sahaja tiba di Leeds untuk menyambung pengajian.
Balik di rumah sebelah malamnya, sebelum garaj dibuka, aku dan E pakat-pakat membelek dan menaik taraf HTC masing-masing. Jam 10.15 malam, ‘Garaj Membara‘ dibuka. Sungguh hebat malam ini, BBQ udang, sayap ayam dan kebab diadakan. Minuman teh panas turut disediakan. Sedikit terkilan, teh tarik garaj sudah lama tidak disediakan. Jumlah yang hadir melebihi dari yang biasa, 11 orang kesemuanya. Cukup membanggakan.
Jam 1.25 pagi, garaj ditutup, masing-masing pulang ke rumah. Frost sudah melekat di kereta. Aku dan E menyambung kembali proses menaiktaraf aplikasi HTC di rumah. Sehari yang memenatkan tapi cukup puas.
** nota kaki **
Seminggu dua yang menyebokkan. Layan ebay untuk jual kereta aku yang tersadai. Gambar terbaru belum dimuat turun dari HTC ke laptop.
