Pindah Rumah
Selasa 20/05/08, tiba giliran kami untuk pindah masuk ke rumah baru yang sudah siap refurbished. Maknanya aku dan keluarga telah bertukar lokaliti dari Shay Street ke Holborn Terrace. Senang cakap, pindah ke blok baru bersebelahan sahaja.
Pihak pengurusan perumahan Leeds University iaitu Unipol dalam kerangka mengemaskini dan membaikpulih unit-unit rumah sekitar Shay dan Holborn secara peringkat berperingkat. Setiap fasa pembaikpulih unit rumah dianggarkan mengambil masa 3 bulan untuk menyiapkannya. Itu atas kertas, memandangkan apa yang berlaku sebelumnya, malas untuk dikomen lagi, al maklum kerja-kerja ini dilakukan oleh orang putih, memang lembab. Kita cuma tunggu surat dari pihak Unipol untuk mengarah pindah sahaja, itu lebih baik.
Seminggu sebelum proses pemindahan, pihak Unipol menyediakan 10 container untuk memudahkan pemindahan nanti. Kerja-kerja pemindahan, semuanya dilakukan oleh pihak Unipol yang menyediakan orang untuk mengangkut barang. Kita cuma perlu memastikan barang diangkut dan diletakkan di tempat yang kita mahu. Adat Melayu, berbaik dan berbudi sesama insan.
Rumah baru, semuanya telah diganti dan dibaikpulih. Peti ais baru, kabinet baru, dapur baru, mesin basuh baru, tingkap baru dan sebagainya. Cuma perabut dan sofa yang digunapakai dari rumah lama. Kira ok, sebab perabot lama ini masih lagi elok.
Nampak macam mudah dan cepat proses pindah rumah kali ini. Ya, dibantu oleh beberapa pekerja, semua barang telah dipindah ke rumah baru. Yang letihnya, yang makan masa adalah untuk mengemas kembali dan menyusun barang-barang di rumah baru. Hampir seminggu, semuanya beres, Alhamdullillah. Lama masanya mungkin kerana isteri tidak berapa sihat. One man show, ada juga barang lain yang perlu isteri terlebih dahulu menentukan susun aturnya, jadi bak kata orang, “Pelan-pelan kayuh la no…“
Nampak Eizzah dan Damia lebih gembira dengan rumah baru ini. Ada laman di belakang rumah, jadi port Eizzah bermain dengan kawan-kawannya. Damia pun tumpang sekali. Tempat letak kereta pun lebih dekat berbanding sebelumnya, jadi senang hendak buang barang dari bonet kereta.
Yang lecehnya, alamat surat menyurat terpaksa dikemaskini. Talian telefon, tv dan internet perlu diperbaharui. Leceh memang leceh pindah rumah, tetapi apa nak dikata, Unipol yang mengarahkannya. Jadi Unipol akan menangung kos sampingan pemindahan rumah seperti sewa bulanan sebulan dan penutupan kontrak talian.
Kini aku sedang mencongak kemungkinan menambah kelajuan jalur lebar untuk kontrak yang baru. Ah! Penat belum hilang lagi, rehat lah dulu.



