Bridlington – Sebuah Hasil Yang Kosong

dari persisiran pekan Bridlington
Sidang Garaj Membara
“Minggu lepas budak-budak Kirkstall pergi berkhemah di sana, naik bot, katanya banyak dapat ikan”
“Naik bot sure dapat ikan punya , dia pakai gps cari lubuk ikan”
“Hari tu tengok channel 5, cerita pasal Macerel, bot tu turun jer pukat, sekali angkat penuh tong”
Malam itu kami bersidang di Garaj Membara (walaupun lama sudah tidak membara seperti tahun sebelumnya). Seharinya sebelumnya, Tuan Speka Garaj telah memaklumkan kepada rakan-rakan ahli Garaj Membara untuk diadakan sidang malam sabtu, tetapi itulah kawan-kawan, ada masanya sibuk, yang turun bersidang boleh dikira seperti biasa.
Topik hangat kali ini berputar mengenai musim ikan sekarang, musim memancing di musim panas, musim Macerel naik ke tepi. Dalam perancangan bersama rakan-rakan yang lain, suatu hari di hari sabtu di suatu minggu pasti kami akan turun ke lubuk biasa di Bangor.
“Apa kata esok kita pergi Bridlington, naik bot, pancing ikan” aku cuba memancing rakan-rakan pada malam itu selepas begitu ghairah sebelumnya bercerita pasal ikan.
“Ok jadi, aku ok saja”, Joe menjawab tersengih.
Berminggu sebelum ini, Joe begitu payah untuk bersama rakan-rakan lain untuk aktiviti luar, sibuk katanya, sibuk menjaga anak, bininya sibuk dengan kerja lab di school.
“Wei, sat la, mana satu nak atoq ni, minggu depan nak pi lagi, mana ‘peluru’ nak pakai ni?”, pulak E menjampuk dengan bertanya.
“‘Peluru’ ni la, kalu kena, minggu depan turun lagi best” jawab aku pantas cuba meyakinkannya.
‘Peluru’, maksudnya peluang untuk pergi memancing. Bukan senang katanya untuk dapat ‘lesen’ keluar memancing sehari suntuk jauh dari keluarga.
“Ko macamana Eran, ok ke?” Joe bertanya Eran yang dari tadi diam sahaja tetapi mulut mengunyah makan.
“Emm.. aku.. aku ok saja” jawab Eran sambil mengunyah lagi.
Malam itu di garaj, satu resolusi untuk ke Bridlington dicapai, pergi memancing dengan bot. Kerja-kerja menelefon dan menempah bot diserahkan kepada Joe selaku Tuan Speka Garaj Membara. Sarjan E seperti biasa, khidmat pandunya diperlukan.
Bertolak ke Bridlington

kawasan tambakan ombak - Bridlington
Pukul 10 pagi hari sabtu, Joe telefon. Katanya semua beres, air laut pasang pada pukul 3, lepas tengahari baru bot ada.
“Kita book bot pukul 3.30 petang ok, air baru pasang masa tu, semua minta berkumpul di depan pukul 1.30 tengahari”, terang Joe lagi.
Jam 1.45 baru semua berkumpul, biasalah janji Melayu. Yang hadir untuk misi ini selain aku dan Joe adalah Eran, E dan adik iparnya serta Mat Ju. Ini kali pertama Mat Ju ikut serta, dia terlepas trip pergi memancing ke Bangor dahulu kerana ada masalah.
“Eh… nak kena bawa set pancing ke?” tanya Mat Ju
“Tak payah, bayar sewa bot untuk semua, nanti dia kasi pancing dan umpan sekali” jawab Joe.
Akhirnya dalam pukul 2 petang, baru kami berangkat ke Bridlington melalui jalan York dengan menaiki mpv Eran. Semasa dalam perjalanan, kami terkandas di dalam kesesakan lebuhraya. Kereta bergerak perlahan, ‘tersemput-semput’ cuma di sebelah bahagian laluan kami. Entah apa yang berlaku di hadapan, nampak kesesakan ini agak jauh. Masa semakin berlalu, jam 3 petang kami masih lagi di dalam perjalanan, belum nampak tanda-tanda menghampiri kawasan laut sebelah timur.
Kami sepakat, Joe menelefon kembali Frank (orang yang akan memandu bot membawa kami pergi memancing ke laut). Kami mengubah jadual masa memancing, tidak sempat untuk tiba di sana jam 3.30 petang sedang kami masih lagi di dalam perjalanan. Kami diberi masa baru, jam 5.20 petang untuk menaiki bot pergi memancing. Kami bersetuju kerana sekarang musim panas, siangnya panjang hingga ke malam, harinya masih lagi berbahang sesekali diselang seli dengan awan yang menutup panas. Dari cakap mulut kawan-kawan yang pernah sampai, tempat letak kereta juga agak susah dicari, jauh dari tempat tambang. Kami rasa, anjakan masa memancing ini memberi peluang kepada kami yang pertama kali ke sana untuk meninjau kawasan tersebut.
Tiba di sana, kami mencari kawasan letak kereta. Bayar tiket untuk bayaran semaksima letak kereta. Kemudian, berehat di kawasan teduh sambil menikmati makanan yang dibawa.
“Weh, makan banyak ni.. karang muntah macamana?” Mat Ju bersoal.
“tak pa, kalau muntah pun, dah makan, tak teruk sangat, muntah ada hasil” satu petua baru yang terkeluar dari mulut E, entah benar entah pun tidak.
Kemudian kami berjalan ke tempat tambang bot, melintasi pekan Bridlington. Ramai orang berkeliaran sekitarnya menikmati panas mentari mungkin. Burung-burung camar laut berterbangan berkumpulan menunjuk lagaknya, jinak sungguh, jinak yang tidak boleh diusik bersahaja. Di sebelah sana, ada kawasan fun fair, ramai yang keluar masuk ke kawasannya.
Kami bersantai di tebing sana, bergambar kenangan sebentar. Diperhatikan di situ ada khidmat sewa bot laju, tidaklah mahal sewanya untuk satu slot. Bot-bot laju ini dibawa pusing mengikut laluan yang ditetapkan. Ada lagi, kedapatan kapal besar untuk disewa dibawa bersiar di laut, entah berapa pula sewanya.

bot Frank yang tak best

semasa menuruni tangga ke bot
Kami masih lagi setia menanti masa jam 5.20 petang. Mata tercari-cari bot-bot yang lalu masuk ke laluan tambang, mana satu bot bertuah hari ini yang akan membawa kami keluar memancing ke laut. Benar, rasa teruja untuk kali pertama menaiki bot memancing ke laut, biarpun mungkin tidak sejauh ke laut tengah tapi rasanya cukup berlainan. Pengalaman pertama mungkin, pelbagai bayangan dan perasaan bercampur baur.
“Hey lads are you ready?” sapa Frank bilamana botnya telah bersedia untuk berlayar.
Dari pandangan awal, nampaknya Frank ini peramah orangnya dan ada sedikit unsur humor bila berbicara. Cuma petang itu, kelihatan dia nampak begitu letih. Katanya dari awal pagi dia keluar membawa orang pergi memancing ke laut. Demi duit pedulikan letihnya.
Mabuk Laut
Ombak bergelora, air laut yang beralun cukup menggoncangkan bot kiri dan kanan. Bagi aku yang bukan anak laut sudah pasti terasa risaunya, fikiran merendah entah ke mana. Masa berdetik menuju ke petang. Bot dihentikan, aku pasti ini adalah kawasannya, kawasan untuk kami memancing ikan. Selain kami, terdapat 2 orang lagi lelaki berkulit putih yang duduk di belakang bot, nampak tegar. Kami diberi penerangan ringkas tentang selok belok penggunaan pancing dan cara memancing.
Bosan, itu aku fikirkan. Terasa tidak berbaloi untuk datang memancing kali ini. Cabarannya sungguh hebat, kepala memusing menahan pening akibat ombak yang beralun-alun. Memancing kali ini tidak seenak memancing di tepi pantai sewaktu di Bangor, sudahlah pancing bot yang berat dan tidak mudah untuk dikendalikan. Terbayang aku, rindu pada pancing Shimano aku. Kata Frank, Macerel tak naik hari ini, kena layan ikan lain.

muka teruja - muka bosan - muka mabuk laut - semua ada
Selang kemudiannya, bot bergerak ke suatu kawasan lagi selepas 15 minit berada hanya seekor ikan yang mampu dinaikkan. Mungkin tempat ini lebih menjadi, fikir aku sendiri. Kepala terasa semakin pening, berat dan sekali sekala mata terasa hanyut. Aku lihat Eran dan E masih kental, seolah tiada apa berlaku, mungkin mereka tegar di laut. Mat Ju nampak diam, duduk di bangku sambil memegang pancing. Tekaan aku, mungkin dia cuba menahan dari mabuk laut atau pun takut gelombang laut atau pun sudah biasa dengan keadaan sebegini. Joe sekali sekala merehatkan badan, masih gagah lagi. Afian yang paling teruk, sudah mabuk laut, cuma belum muntah. Dia mengalah, membaringkan diri, cuba bertahan.
Aku hilang semangat memancing kerana ini. Kerana kepala sudah pening, aku cuba bertahan sambil di dalam hati bermonolog sendiri untuk balik ke tebing lebih awal. Awan mendung secara tiba-tiba menyelubungi kawasan. Panas pun tidak hujan pun tidak, tapi cuaca semakin redup. Ombak semakin bergelora, sesekali air laut terpercik masuk ke dalam bot. Masa semakin merangkak ke petang. Setakat ini, cuma 5 ekor ikan yang berjaya dinaikkan. Eran cuma dapat seekor, itupun ‘ikan sebelah’ orang panggil.
“Ah betul la, tadi depa yang baru turun dari bot ni kata cuma dapat 10 ekor saja”
“Tak pa, masa tu air tak pasang lagi”
Aku masih bermonolog sendiri.
Tekaan aku mungkin, Frank ini terlalu malas dan terlalu tidak bagus sebagai pemandu bot untuk membawa pemancing ke kawasan ikan. Dia lebih sibuk bertelefon berjanji masa dengan penempah-penembah botnya untuk esok. Aku lihat kawan-kawan lain pun terasa hampa mungkin bertelaah seperti aku juga. Aku sudah malas untuk berbicara meminta Frank berpindah ke kawasan ikan, kepala semakin berat, lebih baik naik ke darat. Sungguh, suatu masa yang kosong kurasa.
Hampir 2 jam berada di laut, kami kemudiannya balik ke daratan. Lega rasanya, kalau semakin lama mungkin berada di dalam bot, mungkin aku sudah muntah, tidak tertahan lagi pening lautnya.

bergambar di tebing yang ditambak semasa menunggu bot
Setiap perkara itu pasti ada hikmahnya. Perjalanan jauh itu tidak mendatangkan hasil tangkapan yang diharapkan dan seperti yang diwar-warkan. Kecewa adalah perkataan yang sebaiknya untuk hari itu. Tetapi ini menjadi pengajaran kepada aku sendiri betapa susah payahnya lelah nelayan mencari rezeki di laut terbentang. Setiap perkara yang dilakukan itu tidak semestinya mendatangkan hasil seperti yang diharapkan, kita wajib bersyukur dan menginsafi diri. Banyak perkara baru yang dipelajari.
Perancangan untuk ke Bangor seminggu selepas ini terpaksa ditunda akibat ini. Kata rakan-rakan, kita perlu renggangkan masa memancing untuk memberi peluang bersama keluarga sebentar di hujung minggu.
“Ikannya mana? Banyak dapat ikan?”
Kata-kata pedas terpaksa ditelan, cabaran untuk kaki pancing, bersabar, sabar lagi dan terus sabar.

sabaq…nanti balik sini kita pi la mancing kat mana2 lubuk ikan…..hehhhee…aku sendiri pun dah lama tak ikut ayah pi mancing. dia pun tak sihat sejak la ni.
pitt.. sudah pasti, byk yg aku belajaq dok perantauan ni. hg pi riki lubuk tu dulu