great… Great Yarmouth

Hari Pertama

Destinasinya adalah California Cliff Caravan di California, Great Yarmouth jajahan Norfolk. Tempatnya terletak di bahagian bawah kepulauan UK sebelah timur. Maka pada hari Jumaat 16/10/09 kami bertolak ke Norfolk dari Leeds. Perjalanan secara konvoi bersama keluarga E dan Eran.

20091016_19-CaliforniaCliff_400-04

Lotus Evora

Kami singgah di Norwich untuk ke kawasan ‘Group Lotus‘. Aku kurang info berkaitan Lotus ini, jadi kami sekadar membuat ‘lawatan sambil belajar’ di luarnya sambil menikmati secara dekat kereta-kereta Lotus Evora hasil Project Eagle 2008. Terasa bangga juga bila berada di sini, Malaysia (Proton mungkin, maaf kurang info) adalah pemegang terbesar sahamnya. Teringat kata-kata saudara yang bekerja di Lotus yang kami jumpa suatu ketika di Oxford dahulu.

Langsung dari situ, kami teruskan perjalanan ke tempat caravan masing-masing. Kami sekeluarga tinggal di kawasan caravan yang berbeza dari keluarga E dan Eran, kami di California, ‘the real of California’. Bukan senang nak dapatkan caravan dengan harga murah sebegini, untuk 4 hari 3 malam cuma £10 (harga asas). Asalnya dari usaha Jayhan yang bersusah payah mengumpul kupon dari akhbar the sun (aku pun tak tau macamana, cuma terima kasih kepada dia sekeluarga sekali lagi kerana memberi peluang kepada kami untuk turut serta merasai pengalaman bercaravan sebegini rupa).

20091016_19-CaliforniaCliff_400-03

California Cliff Caravan, Great Yarmouth

Tempat caravan kami ini terletak dekat dengan pantai, demikian kami disambut dengan hembusan angin laut yang ‘garang’ pada sebelah petangnya. Hari tersebut, angin benar-benar bertiup kencang, boleh terasa gegarannya semasa berada di dalam caravan. Ditambah pula dengan mendung yang sekali sekala hujan renyai, sejuk sungguh terasa kali ini. Ruginya tidak membawa bersama pemanas boleh ubah. Pemanas cuma satu berada di ruang tamu sahaja.

Kami berkemas barang ke dalam caravan selepas mendaftar masuk. Kami diberi kunci caravan bernombor 25 Coaster, Jalan Dunlin. Berdasarkan peta tunjuk arah yang diberi di kaunter tadi, kami tiba di hadapan caravan tersebut. Kata orang, kalau hendak selesa lagi cuma perlu tambah beberapa pound lagi, tapi bagi kami, keadaan caravan sebegini pun sudah cukup.

Masa untuk berehat, masing-masing memanaskan badan di hadapan pemanas di ruang tamu. Sebelah malamnya, kami dijemput untuk makan malam pula di caravan E dan keluarganya di Cherry Tree Caravan semperna hari jadi Manja dan juga untuk Damia. Tempat mereka terletak di seberang pekan Great Yarmouth. Untuk sampai ke situ memakan masa hampir 20 minit, merentasi pekannya.

Hari Kedua

Seperti dirancang bersama, untuk hari ke-2 kami akan bersiar di sekitar pekan Great Yarmouth sebelah tengaharinya. Waktu pagi, kami sekeluarga berkunjung ke pusat ‘amusement’ yang berada di dalam kawasan caravan. Kami tidak menempah sekali kupon masuk ke pusat tersebut semasa membuat pembayaran atas talian tempohari. Mujur kami tetap diberi harga kupon masuk seperti mana harga di atas talian.

Sengaja juga kami berkunjung ke sini untuk memberi peluang Eizzah dan Damia bermandi manda di dalam kolam renang. Kolam renang untuk kanak-kanak disediakan bersebelahan dewasa. Kawasannya tidak sebesar kolam renang di Devon Cliff Caravan tempohari.

20091016_19-CaliforniaCliff_400-01

Merrivale Model Village

Usai bermain sekitar ‘amusement’ di kawasan caravan, kami bersiap untuk ke pekan Great Yarmouth. Kami singgah sebentar di persisiran pantai sebelum ke pekan untuk menghayati pemandangan laut yang dibatasi turbin-turbin angin melintang.

Kami mengunjungi ‘Merrivale Model Village‘ iaitu tempat yang terdapat di dalamnya taman model-model bangunan sekitar UK (miniatur). Kemudiannya, kami singgah bermain di ‘amusement’ berdekatan. Eizzah dan Damia cukup terhibur. Mereka berlumba kereta bersama kawan-kawannya dan bermain buaian pusing. Di sini, rombongan kami disertai keluarga Isma yang baru tiba dari Leeds.

Lewat petang, kami pulang ke California semula. Sebelah malam, rakan-rakan bertandang ke caravan kami untuk makan malam bersama.

Hari Ketiga

Hari ini kami memandu ke Wroxham untuk bersiar sekitar sungai ‘River Bure’ dengan menaiki bot. Sebelum tiba ke kawasan tersebut, kami singgah sebentar di taman hutan ‘beWILDerwood’. Cuma bergambar dan mengambil info tempat berkenaan.

Tengahari sudah berada di pintu gerbang ‘Barnes Brinkcraft‘, antara syarikat yang menawarkan perkhidmatan bot untuk bersiar satu hari (sewa ikut jam), cruise dan kapal layar. Setelah berkumpul semua dan membeli tiket, kami dibawa ke bot masing-masing mengikut keluarga sendiri. Kami cuma menyewa untuk sejam (£14 bot harian selama sejam untuk musim luruh). Tapi kami diberi 2 jam (mengikut apa yang tercatat di dalam resit) termasuk masa keluar, bersiar dan masuk kembali ke pengkalan.

20091016_19-CaliforniaCliff_400-02

semasa menunggu bot

Sejam 15 minit kami bersiar di dalam bot. Cukup terpersona dengan keindahan alam di situ dengan hiasan rumah-rumah lama dan baru sepanjang sungai. Tambahan pula, mentari bersinar cemerlang memeriahkan lagi pemandangan.

Masing-masing merasa pengalaman memandu bot. Isteri mendapat peluangnya, Eizzah tidak ketinggalan begitu juga dengan tok wannya.

Kemudian berjalan sekitar pekan Wroxham mencari cendemata kenangan sebelum bersiar-siar menjamu selera di taman berdekatan. Dalam perjalanan balik ke tempat caravan, kami singgah di stadium bolasepak Norwich City untuk bergambar.

Hari Keempat

Hari terakhir, selesai menyerah kembali kunci di kaunter, kami menuju ke pantai yang terletak di seberang jalan. Bergambar sekitarnya sebagai kenangan. Kemudian kami mengunjungi pula ‘beWILDerwood‘. Kali ini kami masuk ke tamannya. Taman hutan imaginasi yang menarik untuk dikunjung sekeluarga. Eizzah dan Damia benar-benar bergembira bermain di situ.

20091016_19-CaliforniaCliff_400-05

cuaca panas sesuai untuk aktiviti sebegini

Selepas jam 3 petang, kami bertolak balik ke Leeds. 4 jam lebih juga baru tiba di Holborn. Untuk sambutan hari ulang tahun kelahiran Damia ke-3 ini, pengalaman kembara kali ini benar-benar menggembirakan Damia dan kami biarpun tidak dihidang kek harijadi khas untuknya seperti tahun sebelumnya.

Yang pasti, musim luruh kali ini menceriakan.

Galeri keceriaan di Norfolk: