Raya Aidil Adha di Holborn
Jumaat, November 27 2009, selang 2 hari ulang tahun kelahiran, kami menyambut Hari Raya Korban sekali lagi di perantauan. Sembahyang raya di Grand Mosque diadakan pada jam 9.30 pagi dan cuma satu sesi sahaja tahun ini.
Pagi raya yang nyaman dicekam bungkam sejuk musimnya. Kami bersolat di khemah luar masjid yang didirikan. Jemaah yang hadir begitu ramai. Usai solat raya, khutbah raya disampaikan di dalam bahasa arab dan diikuti dengan tafsiran khutbah di dalam bahasa Inggeris.
Selesai bersolat, kami sekeluarga bergambar di pagi hari raya sebelum bersama rakan-rakan se-blok berkumpul di rumah Mat Ju sekeluarga untuk berhari raya. Juadah raya disediakan secara ‘pot luck’. Tiada perancangan bersama untuk rakan-rakan sekejiranan Holborn untuk beraya bersama di kawasan terbuka pada hari ini memandangkan cuaca dan suhu yang sejuk di musim ini. Kami mengambil keputusan untuk beraya secara berkelompok kecil dari rumah ke rumah.
Memandangkan hari ini cuti raya, maka dapatlah aku bersama rakan Holborn bergerak ke masjid untuk solat Jumaat bersama. Di masjid, selesai solat Jumaat, kami kemudiannya berjemaah Asar yang masuk waktunya selang 10 minit selepas itu.
Selepas maghrib, sekitar jam 4 petang, kami sekeluarga mula menziarahi rakan-rakan kejiranan Holborn untuk berhari raya. Dari rumah ke rumah, beraya dan bersembang. Di Holborn sahaja, terdapat 20 keluarga Melayu, untuk beraya ke rumah semuanya memang tidak sempat untuk satu hari. Kami cuma sempat beraya 5 buah keluarga sahaja.
Sebelah malam yang panjang, kami diziarahi rakan-rakan di rumah pula. Lewat malam, aktiviti kaum bapa untuk ber’garaj‘. Kami berpakat bersama, berkumpul di rumah Bang Man Beeston hingga lewat jam 2 pagi. Nah, jamuan ringkas yang dikatakannya cukup mengenyangkan dan menyelerakan.
Memang seharian beraya, meriah beraya di perantauan biarpun hati merindui kampung halaman.
Untuk kita semua, Eid Mubarak!













